JULAI 2023

Premier Ketuai Konvoi Kembara Merdeka Ke Serian, Siburan Dan Samarahan


KUCHING, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mengetuai Konvoi Kembara Sarawak Merdeka Peringkat Bahagian Serian tengahari ini tadi.

Beliau yang memulakan perjalanan dari Serian Conference Centre (SCC) kira - kira pada jam 1.00 petang kemudiannya singgah perkarangan Siburan New Township bagi meluangkan masa bersama komuniti di Siburan sebelum meneruskan perjalanan ke Pusat Beli Belah Summer Mall, Kota Samarahan.

Sebanyak 170 buah kenderaan dan seramai 335 peserta telah memeriahkan konvoi tersebut di mana acara simbolik ‘flag off’ konvoi itu telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari kemudiannya  ke ‘pit stop’ pertamanya, Siburan New Township yang memakan jarak sejauh 30.8 kilometer. 

Sejurus selepas itu, beliau meneruskan perjalanan dari Siburan New Township ke Summer Mall Samarahan sejauh 21.2 kilometer dan tiba pada jam 2.56 petang. 

Sejurus tiba di Summer Mall, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari dan konvoi disambut meriah oleh warga tempatan serta disajikan dengan persembahan selamat datang. 

Premier Sarawak bersama tetamu lain kemudiannya menyanyikan lagu ‘Sarawak Maju Makmur’ bersama rakyat tempatan sebelum penyampaian cenderamata dan sesi bergambar. 

Sebelum majlis berakhir, beliau dan tetamu kehormat yang lain meluangkan masa melawat tapak Pameran Digital serta sesi ‘Jamuan Bersama Rakyat".

Turut hadir, isteri Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif, Dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta dif-dif kenamaan yang lain. 

Sumber dari : Sarawakku